Source: https://tvsabahnews.com/guru-sabah-penerima-anugerah-asia-tenggara-swara-awards-2025/
Summary:
KENINGAU: Dr. Sirhajwan Idek, guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional (KV) Keningau, telah berjaya dipilih sebagai salah seorang penerima Sustainability Waste Awareness and Responsible Action Awards ataupun dikenali sebagai SWARA Awards anjuran Southeast Asian Regional Centre for Tropical Biology (SEAMEO BIOTROP) iaitu satu badan pendidikan yang berpangkal di Bogor, Indonesia, yang diumumkan melalui majlis anugerah hybrid yang berlangsung pada 10 Disember 2025.
Daripada 12 finalis bagi anugerah ini, empat dipilih untuk menerima anugerah berupa sijil pencapaian, plak anugerah dan wang ringgit.
Empat anugerah yang diberi adalah amalan terbaik, konsep program terbaik, anugerah pilihan orang awam dan anugerah khas. Anugerah ini adakah merupakan satu penghargaan bagi inisiatif-inisiatif pengurusan sisa makanan di rantau Asia Tenggara yang telah memberi impak positif melalui pengurangan dan pemprosesan sisa makanan yang berkesan.
Dr. Sirhajwan Idek, satu-satunya finalis dari Malaysia, dipilih sebagai penerima anugerah khas atas usahanya membimbing dan membantu para pelajarnya di KV Keningau dalam menaik kitar atau upcycle sisa-sisa makanan seperti sisik ikan, buah-buahan dan nasi menjadi makanan, bahan kosmetik dan bahan pencuci di mana para pelajar ini telah memenangi anugerah dalam beberapa pertandingan, menerbit artikel ilmiah dalam jurnal serta ada yang berjaya menjual produk-produk tersebut.
Mereka juga telah melaksanakan kerja-kerja kesukarelawanan menggunakan produk inovasi mereka seperti membersih longkang sekolah dengan pencuci yang diperbuat daripada sisa makanan hijau. Malah, para pelajar ini beserta produk-produk ciptaan mereka telah mendapat liputan media tempatan.
Dia menamakan projek ini sebagai upcycled food waste social entrepreneurship ataupun perusahaan sosial sisa makanan naik kitar dalam penyertaannya untuk anugerah ini. Dr. Sirhajwan yang pernah menerima pengiktirafan terdahulu dengan usaha-usahanya mendidik Bahasa Inggeris dan memperbudayakan amalan inovasi di kolejnya seperti ELTons Innovation Awards dari British Council pada tahun 2024 dan Ikon Belia Karismatik Negara dari Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2022 menjadikan ibunya, Hajah Bintek Haji Abdul Rahman, sebagai sumber inspirasi dan idolanya.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, mengucapkan tahniah terhadap pencapaian guru ini dan pengiktirafan ini adalah bukti bahawa profesion perguruan adalah satu tugas dan tanggungjawab yang sangat penting dalam memangkin perubahan yang berimpak terhadap masyarakat dan alam persekitaran melalui peranan mereka sebagai pendidik.
Download article